MOMOGUN MOVEMENT FOR SELF-DETERMINATION (MOSIK)

Satu lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 20, Laporan IGC 1962, Laporan Cobbold 1962

Sabah Negara Ku Merdeka!

Sabah adalah sebuah Negara yang telah mencapai Hari Kemerdekaannya pada 31 Ogos 1963. Kemerdekaan Negara Sabah atau dahulunya dikenali sebagai North Borneo telah diberikan oleh British.

Tiada Masa Untuk Berdiam Kerana Masa Telah Tiba!

Bangsa Negara Sabah khususnya Generasi Muda TIDAK BOLEH lagi memilih untuk berdiam kerana masa dan keadaan kini menuntut penglibatan mereka untuk berjuang bersama-sama dalam mengembalikan Hak Bangsa dan Negara Sabah!

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by Lasantha Bandara - Premiumbloggertemplates.com.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by Lasantha Bandara - Premiumbloggertemplates.com.

Monday, November 17, 2014

Program Autonomi MOSIK


KOTA MARUDU: Atas permintaan penduduk kampung, hari ini (16/11/2014), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) telah mengadakan Program Autonomi di Kg. Pengapuyan Baru, Kota Marudu. Aktiviti yang dinamakan "Program Autonomi" ini merupakan penerangan mengenai perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara dan pemantapan nasionalisme Sabahan dengan menerangkan sejarah kenegaraan Sabah dan Sarawak dan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Dalam Program ini juga diterangkan sedikit sebanyak mengenai kepentingan menandatangani borang petisyen antarabangsa Call for Sabah Ssarawak Rights (CfSSR). Seramai lebih 20 orang berkelapangan mendengar.
Sekretariat MOSIK 
Kota Marudu
16 November 2014

PARAS Desak Laporan RCI PTI di Sabah Dibentang


KOTA MARUDU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) hari ini (16/11/2014) telah mengadakan perhimpunan aman rakyat Sabah sengsara (PARAS) bagi isu RCI PTI di Kg. Pengapuyan Baru, Kota Marudu mendesak kerajaan membentangkan laporan RCI mengenai PTI di Sabah dengan segera. Antara resolusi yang disepakati dalam perhimpunan ini ialah:

a. Kerajaan hendaklah membentangkan laporan RCI PTI dengan segera dan mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah PTI.
b. Dedahkan dan ambil tindakan ke atas dalang di sebalik Projek IC.
c. Hormati hak Sabahan dan pulihkan status Sabah sebagai negara.

Kebangkitan people power ada di mana-mana. Walaupun PARAS hanya melibatkan perhimpunan skala kecil, tetapi suara rakyat jelas berkumandang dan suara kecil ini tidak boleh dipandang ringan. Rakyat Sabah sudah lama sengsara dan kerana itu kini mereka bangkit menuntut hak.


Sabahan, Mosik! Bangun!
Sekretariat MOSIK
Kota Marudu
16/11/2014

Hormati Perjanjian Malaysia 1963

KOTA MARUDU: Daripada sekian banyak kad manila yang bertulis semasa NGO MOSIK mengadakan PARAS di Kg. Pengapuyan Baru, Kota Marudu, pada 16/11/2014, kad inilah yang dipilih oleh anak kecil ini untuk dipegang dan kemudian bergambar. Wajah anak ini penuh pengharapan.

Dalam kad ini tertulis, "Hormati Perjanjian Malaysia 63". Saya tidak tahu sama ada dia faham atau tidak maksudnya, tetapi saya amat yakin regim UMNO BN dan para pemimpin Sabahan memahaminya.

Najib, laksanakanlah, tidak cukup dengan hanya memahaminya.

Sekretariat MOSIK
Kota Marudu
16 November 2014

Saturday, November 15, 2014

Sepatutnya Ada 3 Perdana Menteri dalam Persekutuan Malaysia

KOTA MARUDU: "Persekutuan Malaysia yang ada sekarang harus distrukturkan semula seperti mana semangat dan intipati persetujuan asal penubuhan Malaysia, iaitu setiap negara anggota merupakan entiti yang berasingan dan mempunyai individualiti masing-masing," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK).

Perjanjian Malaysia 1963 harus dihormati seperti mana persetujuan asal penubuhan Malaysia yang terdiri daripada empat negara yang terlibat, iaitu Malaya, Singapura, Sabah, dan Sarawak. Tetapi pada 9 Ogos 1965, Singapura disingkirkan dari Persekutuan Malaysia, menjadikan negara yang menganggotai Persekutuan Malaysia tinggal lagi Malaya, Sabah, dan Sarawak.

Rakyat Sabah menuntut Persekutuan Malaysia
distrukturkan semula 
Menurutnya, status Sabah dan Sarawak sebagai negara harus dipulihkan. Lambat atau cepat matlamat perjuangan ini dicapai, status Sabah dan Sarawak sebagai negara tetap dipulihkan. Apabila Persekutuan Malaysia yang sebenar wujudkan, maka akan ada Tiga Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif bagi tiga negara yang menganggotai Persekutuan Malaysia, iaitu Perdana Menteri Malaya, Perdana Menteri Sabah, dan Perdana Menteri Sarawak.


"Kesedaran Sabahan dan Sarawakian amat penting. Rakyat di kedua-dua negara yang telah diturunkan statusnya ini harus bersatu menuntut hak kemerdekaan. Pulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai negara dalam Persekutuan Malaysia. Ini bukan soal berpisah dari Persekutuan Malaysia. Kita tidak menyokong sebarang gerakan pemisahan dalam Persekutuan Malaysia. Kita menuntut supaya Persekutuan Malaysia yang sebenar ditegakkan, iaitu setiap negara anggota mempunyai entiti yang berasingan. Ini akan mengukuhkan Persekutuan Malaysia," katanya.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu 
15 November 2014.

Thursday, November 13, 2014

Langkah Awal dalam Memulihkan Status Sabah sebagai Negara

KOTA MARUDU: Dalam proses untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara, kita perlu mengambil kira langkah awal atau langkah pertama yang perlu dilakukan untuk memulihkan status tersebut," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) dalam satu sumber makalah yang dihasilkannya. 

Sesudah 51 tahun Persekutuan Malaysia dibina, belum ada tanda-tanda status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara dipulihkan. Malah kerajaan Persekutuan yang ada sekarang (regim UMNO-BN, baik di peringkat Pusat mahupun di peringkat Sabah) tidak mempunyai sebarang komitmen untuk memulihkan status tersebut. Untuk itu, usaha berterusan perlu dilakukan sehinggalah matlamat perjuangan ini tercapai, iaitu sehingga status Sabah sebagai sebuah negara dalam Persekutuan Malaysia dipulihkan. 

"Kombinasi peranan dan komitmen bertindak antara kerajaan, ahli politik, NGO, pengamal undang-undang (peguam), dan rakyat adalah amat perlu dalam memastikan status Sabah sebagai negara akhirnya ditegakkan," katanya.

Peranan Kerajaan
Perjuangan ini menemui jalan berliku memandangkan pihak kerajaan (sama ada Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Sabah yang dikuasai UMNO-BN) sekarang tidak mempunyai political will untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara, sedangkan peranan kerajaan adalah amat penting dalam menjayakan perjuangan ini. Ini bermakna perjuangan untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara dicapai melalui saluran politik, iaitu melalui pilihan raya.  Dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat hendaklah mengundi dan memilih wakil rakyat yang mewakili kawasan mereka. Ini bermakna rakyat memilih wakil rakyat yang mempunyai matlamat perjuangan ini, iaitu parti yang memperjuangkan matlamat pemulihan semula status Sabah sebagai sebuah negara. Parti itu pula berjaya membentuk kerajaan baru. Tuntutan pemulihan ini akan menjadi lebih mudah apabila wujud kerajaan yang menyokong perjuangan ini. Kerajaan baru itu seterusnya akan meluluskan usul di Dewan Undangan Negeri Sabah untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara. Tidak dapat tidak ahli-ahli politik Sabah haruslah memiliki pendirian yang teguh dalam memastikan kejayaan perjuangan ini. Saluran pilihan raya untuk mencapai matlamat perjuangan ini nampaknya menemui pelbagai cabaran ekoran kesedaran dalam kalangan rakyat yang masih di tahap rendah setelah sekian lama menerima status Sabah sebagai salah satu daripada negeri di Malaysia. Namun, jika kerajaan baru berjaya dibentuk dalam pilihan raya yang akan datang dan kerajaan itu pula menyokong matlamat memulihkan status Sabah sebagai negara kerana disokong oleh rakyat Sabah, maka proses pemulihan itu akan lebih mudah kerana dituntut oleh sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. 

Peranan Ahli Politik
Peranan ahli politik amat penting dalam memulihkan status Sabah sebagai negara kerana ahli politik mempunyai pengaruh yang tersendiri sebagai agen perubahan. Mereka boleh memberi kesedaran kepada rakyat mengenai fakta sejarah kenegaraan Sabah dan Sarawak yang sebenar. Mereka boleh memberi pendidikan kepada rakyat Sabah mengenai hak-hak kemerdekaan Sabah seperti mana yang terkandung dalam perjanjian dan persetujuan asal penubuhan Persekutuan Malaysia. Bahkan lebih daripada itu, ahli politik mempunyai pengaruh yang luas dalam menyebarkan maklumat mengenai kebenaran dan masalah sebenar yang kita hadapi pada masa kini dan apakah pula penyelesaiannya. Ahli politik boleh menyatakan pandangan dan idea bagaimana merealisasikan pemulihan status Sabah dan Sarawak sebagai negara. Mereka boleh mencadangkan bagaimana membina Sabah dan Sarawak sebagai negara. Soalnya, berapa ramaikah ahli politik Sabah yang menyokong perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara dalam Persekutuan Malaysia? Misalnya berapa ramai ahli politik dari parti UMNO-BN dan Pakatan Rakyat yang menyokong perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara dalam Persekutuan Malaysia dan seterusnya memastikan matlamat perjuangan ini dicapai? Kita sangat teruja untuk mendengar bahawa pemimpin, ahli politik, penyokong, serta pengundi UMNO-BN dan Pakatan Rakyat berjuang memastikan status Sabah sebagai negara dipulihkan. Jika ini berlaku, maka matlamat ini pasti tercapai dan Malaysia yang sebenar dapat didirikan. 

Peranan Pengamal Undang-undang (Peguam)
Perjuangan memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai negara memerlukan komitmen dan penglibatan pengamal undang-undang (peguam) kerana mereka boleh melihat perjuangan ini dalam konteks perundangan. Tidak dapat dinafikan bahawa perjuangan ini berdepan pelbagai cabaran dan tindakan daripada pihak regim Malaya yang ingin terus berkuasa ke atas Sabah dan Sarawak dan menggunakan pelbagai cara untuk menghentikannya. Misalnya, pihak regim Malaya menggunakan saluran undang-undang dan akta, selain pelbagai ugutan, ancaman, dan tindakan menakut-nakutkan rakyat agar berhenti berjuang.  Jika ada sesuatu cadangan untuk menguatkan perjuangan ini sehingga berjaya, maka nasihat pakar undang-undang diperlukan. Malah, sebarang tindakan dan aktiviti yang dilaksanakan untuk memberi pendidikan kepada rakyat berhubung perjuangan ini, tentulah wajar dilakukan selaras dengan undang-undang negara, dan kerana itu sokongan para peguam dan pengamal undang-undang yang lain amat diperlukan. 

Peranan NGO dan Peranan Rakyat 
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan kumpulan pendesak yang muncul dari kalangan rakyat, berjuang untuk kepentingan rakyat, serta matlamat yang diperjuangkan itu dibuat oleh kehendak rakyat sendiri. Ini bermakna, peranan NGO amat penting dalam merealisasikan perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara. Salah satu tindakan yang wajar dilakukan oleh NGO ialah menyokong petisyen yang dikemukakan di peringkat antarabangsa. Pada masa ini terdapat dua petisyen berkaitan yang telah pun dikemukakan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu:
  1. Call for Sabah Sarawak Rights (yang dikemukakan oleh Doris Jones, seorang Sabahan yang bermastautin di United Kingdom) dari NGO Sabah Sarawak Union – UK (SSU-UK)
  2. Peoples’ Petition to United Nations to Seek fof Self-Determination for Sarawak and Sabah (yang dikemukakan oleh Lina Soo, dari Sarawak dari NGO SAPA dan BHF.

Dengan sifatnya sebagai sebuah organisasi bebas, NGO mendapat sokongan rakyat. NGO bukan parti politik yang tertakluk kepada perlembagaan parti, tetapi sebuah gerakan kuasa rakyat atau people power yang bergerak dengan penuh berani dan tabah dalam mencapai visi, misi, matlamat, dan objektif penubuhannya. Aktiviti NGO lebih mudah diterima oleh rakyat kerana dilakukan secara sukarela, malah lebih dekat di hati rakyat itu sendiri.  Dengan gabungan NGO yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama, maka kesedaran rakyat akan lebih meluas. Ini bermakna perjuangan memulihkan status Sabah sebagai negara akan mudah diterima. Justeru peranan NGO dan rakyat jelata keseluruhannya amat penting dalam mempercepatkan proses merealisasikan matlamat perjuangan. 

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu
13 November 2014

Sumber: Petikan artikel, "Langkah Awal dalam Memulihkan Status Sabah sebagai Negara" - boleh diperoleh daripada penulis melalui emel, jika mahu mendapatkan artikel berkenaan.

"Pindahkan Gereja ke Neraka"

KOTA MARUDU: Menatap gambar anak muda memegang kad manila yang tertulis, "Pindahkan Gereja ke Neraka" membuat saya bermuhasabah diri berkali-kali," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK). Gambar tersebut telah menjadi viral di media sosial, sama ada di laman facebook, mahupun di Whatsapp.

Mengulas lanjut gambar yang dianggap sebagai provokasi melampau itu, beliau berkata, "Saya memang percaya bahawa syurga dan neraka itu wujud. Tuhan akan menghakimi. Apabila tiba masa penghakiman, semua manusia dihakimi berdasarkan kasih kurnia dan hukuman. Siapa yang berada di bawah kasih kurnia Tuhan memperoleh keselamatan, siapa yang berada di bawah hukuman akan diadili," katanya.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, perkara-perkara yang boleh meretakkan hubungan wajar dihentikan. Gambar sedemikian amat dikesali dan menunjukkan hubungan agama di negara ini bertambah dingin. Yang lebih dikesali, walaupun keadaan melampau itu sudah berlarutan, tetapi tiada tindakan pihak berkuasa diambil. 

Jika tidak silap mata memandang, anak muda yang memegang kertas ini ialah orang Melayu, yang berlatar belakangkan papan tanda satu projek, "Kuala Selangor Indah dan Bersejarah".

Menurutnya lagi, "Di hati kecil saya berbicara, bahawa "neraka' yang dinyatakan dalam gambar ini adalah metafora, iaitu suatu tempat yang tidak damai, suatu tempat yang penuh dengan persengketaan, suatu tempat yang penuh dengan kesengsaraan dan penderitaan. Oleh sebab itu, gereja diperlukan di situ. Jadi, sebenarnya, jiwa anak muda ini menjerit supaya gereja dibina di 'neraka' itu kerana mahu ada pembebasan, mahu ada damai sejahtera. Gereja perlu dibina di Tanah Melayu. Gambar bisu ini berbicara tentang jiwa manusia yang dahagakan kebenaran," katanya.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu
13 November 2014

Wednesday, November 12, 2014

Jika Sabah Sarawak Merdeka, Kenapa Tidak Menjadi Negara Anggota PBB dan Komanwel?



KOTA MARUDU: Sejarah telah membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak telah dimerdekakan oleh British. Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, manakala Sarawak pula pada 22 Julai 1963. Jika Sabah dan Sarawak merdeka, kenapa negara-negara ini tidak menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Komanwel (iaitu negara-negara bekas tanah jajahan British), kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK).

"Apabila Sabah dan Sarawak tidak menganggotai PBB dan Komanwel, dengan mudahnya bererti kemerdekaan dan kedaulatannya diserahkan kepada Malaya atas nama Malaysia. Ini bermakna Sabah dan Sarawak tidak merdeka dalam erti yang sebenar," katanya.

Akibatnya, walaupun Sabah dan Sarawak merupakan negara kaya tetapi telah dimiskinkan dengan pelbagai cara melalui penurunan statusnya menjadi negeri sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya.

Dalam konteks Sabah, misalnya, sehingga kini rakyat Sabah hidup sengsara dan menderita. Kesengsaraan ini telah sebati dalam diri mereka sehingga tidak terasa kesengsaraan itu, dengan cara hidup kais pagi makan petang, kais petang makan pagi.

"Untuk keluar dari kitaran ganas demikian, Sabah harus menikmati hak kemerdekaannya sendiri. Sabah harus benar-benar merdeka. Walaupun Sabah sudah merdeka daripada penjajahan British tetapi apabila kedaulatannya diserahkan kepada Malaya, maka Sabah sebenarnya berada di bawah dominasi Malaya, bererti Sabah tidak merdeka sepenuhnya. Untuk itu Sabah harus ada self-determination, hak untuk menentukan nasib sendiri."

Memandangkan status Sabah dan Sarawak merupakan negara merdeka dan berdaulat, maka status itu perlu dipulihkan. 

"Gerakan people power ini tidak akan berhenti. Hanya masa yang menentukan. Sama ada cepat atau lambat, status Sabah dan Sarawak sebagai negara akan tetap dipulihkan," katanya.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu
12 November 2014

Gambar: Bersama Sdr Itoh Manggong, seorang nasionalis Sabah dalam satu sesi perbincangan meja bulat - siri sesi perbincangan profesional MOSIK bersama nasionalis

Monday, November 10, 2014

Tangisan orang asal Sabah

THE MALAYSIAN INSIDER, 10 Nov: Pada 16 September 2014, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Momogun Movement for Self-Determination (Mosik) diasaskan di Kota Marudu, Sabah.

Menurut Daniel Jebon Janaun, Mosik diasaskan “demi perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat selaras Perkara 20, Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan Perjanjian Malaysia 1963, serta jaminan dan persetujuan asal dalam penubuhan Malaysia.”

Maklumat asas mengenai perjuangan pelbagai lapisan masyarakat “Momogun” iaitu “Orang Asal Sabah” dihuraikan dalam makalah bertajuk “Apa lagi Sabah mahu?” (The Malaysian Insider, 23 September 2014).
Dalam perkembangan terbaru, menerusi perkongsian di Facebook pada 4 November 2014, Daniel meluahkan pandangan betapa Sabah sedang menuju kehancuran.

“Sabahan (Momogun), kenapa menuntut hak sendiri pun kalian tidak mahu? Sabahan sudah sengsara pun masih juga tidak berani bersuara menentang penindasan regim Malaya (Tanah Melayu) dan orang sendiri?
“Hak orang asal dihakis. Orang asal sedang dirancang untuk dihapuskan, pun majoriti Sabahan berdiam diri!” Kata-katanya berdasarkan pengalaman sendiri memimpin perjuangan Mosik.

Benarkah Sabah serta penduduk asal Sabah sedang sengsara seperti didedahkan Daniel? Untuk mencari jawapan, saya cuba mendapatkan reaksi daripada beberapa orang Momogun.

Dalam hal ini, Daniel mengakui majoriti penduduk Sabah susah untuk tampil bersuara dan mendedahkan penindasan dan kezaliman yang sedang berlaku.

Teruskan perjuangan demi pertahan hak
“Mereka diancam, diugut dan ditakut-takutkan. Malah, ada yang tidak lagi rasa sengsara sebab sudah terlalu lama sengsara,” kata lelaki daripada etnik Kadazan (Kimaragang) itu.

Tulisla Leeann menyeru rakan-rakannya meneruskan perjuangan serta mengharapkan agar usaha yang dilakukan mendapat lebih banyak sokongan dan penyertaan. Pandangan hampir sama dikongsi Jettry Otto, Wesley Masampai dan Jaff Boluot.

“Kita tuntut hak taburan dari ladang kita, bukan dari ladang orang lain,” kata Jenol Samaron secara simbolik.
Sabah dikatakan sudah dimiskinkan walaupun “Negeri di Bawah Bayu” itu sebenarnya amat kaya.
“Kekayaan bumi Sabah dijarah, dikaut dan dibawa ke Malaya sehingga akhirnya wujud kemiskinan yang tinggi dan kitaran ganas kemiskinan di Sabah,” kata Daniel dalam wawancara sebelum ini.

Tindakan kerajaan pusat mengaut dan merampas hasil minyak dan gas Sabah dan Sarawak menerusi Petronas dianggap zalim dan kejam kerana perbuatan itu sebenarnya bukan dalam bidang kuasa kerajaan pusat.

Pada pendirian Mick Sawatan, menuntut hak orang Sabah bukan milik satu-satu pihak. Sebaliknya ia perjuangan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira arah sokongan politik.
“Perjuangan hak penduduk Sabah perlukan perasaan bersatu, tidak semestinya satu ideologi. Masing-masing gunakan platform dan wacana yang ada untuk mengukuhkan perjuangan demi Sabah,” katanya.
Generasi muda juga perlu ditanamkan semangat cinta akan sejarah dan asal-usul. Seperti kata De Ward, guru sekolah patut mengajar murid dan pelajar sejarah yang betul, “bukan suruh menaikkan bendera BN (Barisan Nasional).”
Dokumen ini tersebar luas
menerusi laman rangkaian sosial.
Pendatang tanpa izin diutamakan
Bagi menzahirkan semangat perjuangan demi hak, Randdy Carlles Hyeen mencadangkan para penyokong membuat perhimpunan aman bagi membantah segala perkara tidak betul yang sedang berlaku.

Dokumen ini tersebar luas menerusi laman rangkaian sosial. Dokumen ini tersebar luas menerusi laman rangkaian sosial.Salah satu isu yang hangat sekarang adalah berkaitan masalah pendatang tanpa izin (PTI) dari Indonesia dan Filipina yang dikatakan diberi sijil kelahiran dan kad pengenalan secara mudah.
“Rakyat Sabah memang betul-betul sengsara. Tanah adat dirampas, hasil ekonomi dikaut dan dibawa ke Malaya manakala yang diberi kepada Sabah sedikit saja.

“Infrastruktur daif di mana-mana. Kami miskin kerana dimiskinkan. Ekonomi lumpuh. Mutu dan tahap pendidikan sangat rendah. Ini belum masuk masalah PTI dan Projek IC,” kata Wira Maple menerusi mesejnya.

Seperti dilaporkan The Malaysian Insider (29 Oktober 2014), Putrajaya bersedia memberikan sijil kelahiran kepada anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah “atas dasar kemanusiaan”.

Tentulah penduduk asal Sabah berhak untuk berasa bimbang. Pada 15 Oktober 2014, misalnya seorang bayi yang lahir di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kota Kinabalu pada 4 Oktober 2014 diberikan sijil kelahiran hijau (warganegara) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Hospital Pakar Likas.
Berdasarkan maklumat pada sijil kelahiran bayi yang “berbintikan” Abdullah itu, bapanya berumur 38 tahun, beragama Islam, keturunan Filipino, bukan warganegara Malaysia dan datang menggunakan pas lawatan (IMM13).

Ibu pula tinggal di Kota Kinabalu, keturunan Filipino, beragama Islam, berumur 23 tahun tetapi sudah memiliki status pemastautin tetap (penduduk tetap).

Maklumat yang tersebar menerusi laman rangkaian sosial mendedahkan kemungkinan wanita itu baru beberapa tahun datang ke Sabah tetapi pihak tertentu (ketua kampung berketurunan Sulu?) membuat akuan palsu kononnya dia datang 20 tahun lalu.

Banyak kejadian tidak diketahui orang luar
Laporan Bernama (3 November 2014) memetik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid meminta rakyat Sabah tidak perlu bimbang.

Khabarnya, pemberian sijil kelahiran kepada anak-anak tanpa kewarganegaraan tidak bermakna mereka secara automatik mendapat taraf warganegara dan menikmati keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.
Berhubung sijil kelahiran bagi bayi yang dinyatakan di atas, ahli jawatankuasa Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Rayner Yeo yang berasal dari Sabah tampil memberikan penjelasan berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, serta Bahagian II, Jadual II.

“Jika anak tersebut dilahirkan di Malaysia dan salah seorang ibu bapa adalah pemastautin tetap, maka anak tersebut dikira sebagai warganegara,” kata pemuda berdarah kacukan Cina, Dusun dan Murut itu.

Dari sudut lain, apa yang menghairankan, sementara golongan PTI amat mudah mendapatkan dokumen pengenalan rasmi dan taraf kewarganegaraan, penduduk asal Sabah pula terus menderita, dipinggirkan dan dizalimi kuasawan.

“Sabahan memang sengsara kerana ancaman besar keselamatan PTI yang berlaku saban hari. Misalnya rompakan, pecah rumah, rogol, bunuh dan culik,” kata Jenol Samaron.

Beliau turut berkongsi pandangan iaitu orang asal Sabah sengsara disebabkan tahap ekonomi yang teruk dan pendapatan yang rendah, berbanding harga barangan keperluan asas yang tinggi.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Atas sebab itulah Butiza Emas meminta sesiapa yang mahu memahami penderitaan mereka, maka wajar pergi dan tinggal di mana-mana bahagian Sabah selama beberapa hari.

Najib
“Perdana Menteri buat tuli”
Bagaimana dengan politikus dan wakil rakyat yang dipilih untuk bersuara mewakili penduduk yang memerlukan bantuan?

Jamiah JM Thewive menyifatkan politikus dan menteri-menteri warga Sabah umpama lembu dicucuk hidung dan diperalatkan Umno.

“Tinggalkan BN dan berjuanglah bersama rakyat untuk membebaskan Sabah daripada jajahan Malaya. Buka mata, buka hati. Berfikirlah dengan hati nurani, bukan dengan hawa nafsu,” rayunya kepada politikus Sabah menerusi komen yang ditulis.

Berikutan kempen meluas yang dilakukan Mosik dan pelbagai kumpulan lain di seluruh Sabah, kesedaran masyarakat nampaknya semakin meningkat.

“Selama ini kita tahu Sabah bebas daripada penjajah British tetapi kita tidak pernah merasai nikmat merdeka yang sebenar. Syukurlah semakin ramai Sabahan sedar akan sejarah sebenar.

“Merdeka dalam erti kata sebenar adalah apabila Sabah mampu membawa acuan pemerintahan sendiri tanpa pengaruh dan campur tangan pihak luar,” kata Jeff LeoNo.

Dalam hal perjuangan ini, Ismaily Bungsu C tampil menyatakan memang sudah lama orang Sabah bersuara.
“Cuma pemerintah tulikan telinga dan para Yang Berhormat diam. Kalau orang bising pun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat tuli,” katanya.

Mengulas soal kesengsaraan rakyat Sabah, Montis Braynlee menghuraikan kos sara hidup yang terlalu tinggi menjadi antara sebab paling utama.

“Pendapatan bagi keluarga yang ada kebun getah empat hektar pun paling tinggi RM800. Katakan ada tujuh ahli keluarga. Kos barangan dapur RM500, tambang bas sekolah untuk tiga anak RM114, wang saku untuk tiga anak bersekolah RM90. Ini belum masuk kos-kos lain,” katanya mewakili golongan pekebun kecil.

Hak dirampas, suara disekat

Seorang lagi penduduk yang tampil berkongsi pengalaman dan pandangan ialah Yash Nite yang terpaksa merantau ke Johor untuk bekerja kerana gaji di Sabah hanya RM800 sebulan.

“Kami mohon kerajaan sediakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan mendirikan kilang-kilang seperti di Semenanjung Malaysia. Masalah PTI yang semakin ramai juga menjadi saingan kepada kami orang asal dalam merebut pekerjaan.

“Kami mohon kerajaan melengkapkan kemudahan asas seperti jalan raya yang baik untuk perhubungan dan kemudahan mengangkut hasil dari kampung-kampung untuk dijual,” katanya.

Kemudahan bekalan air paip dan elektrik yang diharapkan oleh pemuda itu tentu juga mewakili suara hati rata-rata penduduk Sabah. Walaupun sudah lebih 50 tahun Sabah bersama Malaysia, kawasan pedalaman masih terpinggir.

“Kalau anda datang ke Sabah dan masuk ke kawasan pedalaman, seakan sama dengan suasana 50 tahun dahulu. Kehidupan sungguh daif. Sabah masih dalam keadaan teruk. Pelbagai masalah wujud tetapi kerajaan tak ambil tahu.

“Kerajaan hanya pandai berkata-kata di media tetapi kenyataan adalah kosong. Hak kami dirampas, kebebasan bersuara disekat. Kami diugut, tanah dirampas, isu PTI semakin meruncing dan pelbagai lagi,” Jussnee Siu meluahkan perasaan menerusi mesej yang dikirim.

Berat mata memandang, tentulah berat lagi bahu memikul. Walaupun saya pernah beberapa kali ke Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau dan beberapa tempat lain, mungkin saya belum berpeluang menyelami jiwa dan kesengsaraan yang ditanggung penduduk asal Sabah secara dekat.

“Saya ingin mencabar saudara. Kalau saudara seorang penulis yang berjiwa rakyat, saudara dengan segala hormatnya dijemput ke Sabah untuk melihat sendiri keperitan dan kesengsaraan penduduk asal Sabah. Saya merayu agar saudara datang menilai dan memperhalusi kesengsaraan kami.”

Kata-kata Jussnee pada akhir mesej membuatkan saya sedar saya memang perlu ke sana dalam masa terdekat untuk bersama-sama mereka. Perlu mendengar keluh-kesah yang mungkin tidak sudi didengar politikus dan kuasawan. – 10 November, 2014.

Uthaya Sankar SB, penulis artikel
Nota:
Tangisan orang asal Sabah dihasilkan oleh Uthaya Sankar SB.