About Us

MOMOGUN MOVEMENT FOR SELF-DETERMINATION (MOSIK)

Latar Belakang
Hak bersuara dan berpersatuan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, kita bebas menubuhkan Persatuan dan bersuara asal saja mematuhi undang-undang.

Pada masa ini, Sabah dalam keadaan sakit tenat, baik dari segi politik, mahupun dari segi sosioekonomi ekoran dominasi Malaya selepas status Sabah sebagai sebuah negara diturunkan menjadi negeri pada 27 Ogos 1976. Keadaan ini nampaknya akan berterusan. Rakyat Sabah tidak harus berdiam diri. Rakyat Sabah harus bangkit. 

Sabah dan Sarawak berada di bawah penindasan dan pendudukan Kerajaan Persekutuan @ Malaya secara halus. Ekoran dominasi Malaya yang menjarah dan menjajah ekonomi Sabah dan Sarawak, masalah ketidakadilan berlaku secara berleluasa. Rakyat Sabah dan Sarawak dirancang dimiskinkan dan akibatnya Sabah menjadi negeri termiskin di Malaysia mengikut kajian Bank Dunia.

Rakyat Sabahan dibutakan dari mengetahui kebenaran. Sejarah kenegaraan Sabah dan Sarawak tidak diajar dalam kalangan murid. Sejarah Sabah dan Sarawak dipudarkan, diedit, malah dipadam. Akibatnya, kebenaran dan keadilan mengenai Sabah tidak diketahui.

Polisi ketuanan Malaya perlu didedahkan kepada masyarakat umum dan keburukan polisi pecah dan perintah Malaya perlu dibongkar.

Idea Penubuhan
Penubuhan pertubuhan ini adalah ilham seorang patriot bangsa Sabahan yang bernama Jebon Janaun pada 4 September 2014, dengan cadangan nama asal Kesatuan Orang Momogun Pulihkan Autonomi Sabah atau ringkasnya Kompas.

Setelah diperhalusi nama itu berasaskan objektif perjuangannya maka akronim Mosik digunakan supaya lebih asli dan beridentiti Sabahan. Mosik ialah akronim bagi Momogun Movement for Self-Determination atau gerakan Momogun menuntut berkerajaan sendiri, iaitu memulihkan status autonomi Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat tanpa pengaruh luar.

Nama Kumpulan Gerakan
Nama kumpulan gerakan ini disebut Mosik, akronim bagi Momogun Movement for Self-Determination.

Kata Mosik daripada bahasa Kadazandusun Murut bermaksud bangkit atau bangun, iaitu suatu kata kerja tindakan yang datang dari dalaman.

Kata Momogun bermaksud orang asal Sabah. Apabila anda menyebut Momogun, dengan sendirinya orang faham bahawa itu maksudnya orang asal Sabah. Kalau di Sarawak, ia disebut Dayak.

Pertubuhan ini akan menonjolkan bangsa Sabahan. Asal saja Sabahan tulen boleh menyertai pertubuhan ini. 

Kita tidak mahu menyebut nama kaum atau etnik atau agama. Bangsa Sabahan itu ertinya Momogun.
Matlamat Mosik

Memastikan status Sabah sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat ditegakkan.

Objektif Mosik
  1. Memberi pendidikan dan kesedaran kepada Sabahan mengenai hak Sabah seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 20, Laporan IGC 1962, Laporan Cobbold 1962.
  2. Menjadi agen pembangunan sosioekonomi dan politik orang Sabah.
Keanggotaan Mosik
Terbuka kepada semua bangsa Sabahan yang berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira kaum, etnik, dan agama daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi dan ideologi politik.