Tuesday, September 23, 2014

Dua Artikel Perjuangan Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)


KOTA MARUDU: Dua artikel mengenai perjuangan Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) telah dihasilkan oleh Uthaya Sankar SB yang masing-masing berjudul "Apa lagi Sabah mahu?" dan "Suara dari negara Sabah". Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Beliau berkarya dalam Bahasa Malaysia dan merupakan pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Ikuti tulisan beliau yang pautannya saya sertakan.

Artikel 1: Apa lagi Sabah mahu?
Mungkin sahaja kewujudan Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) tidak membawa apa-apa makna kepada rata-rata penduduk di Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu). Bagaimanapun, hasil penelitian sejak awal bulan ini, saya mendapati Mosik mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat “Momogun” iaitu “Orang Asal Sabah”.

Saya berpeluang mendapatkan maklumat daripada rakan saya, Daniel Jebon Janaun yang mengasaskan serta menggerakkan Mosik. Menurutnya, MOSIK diwujudkan demi perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat selaras Perkara 20, Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan Perjanjian Malaysia 1963, serta jaminan dan persetujuan asal dalam penubuhan Malaysia.


Artikel 2: Suara dari negara Sabah

23 SEPTEMBER ― Katakan Sabah dan Sarawak itu negara. Jangan lagi sebut “negeri”. Biasakan lidah anda menyebut. Sebutkan dengan jelas “Negara Sabah”, “Negara Sarawak”, “Negara Malaya” dan “Persekutuan Malaysia”.

Demikian ditegaskan dengan berani menerusi laman rangkaian sosial oleh seorang rakan penulis dan aktivis, Daniel Jebon Janaun, baru-baru ini.

Saya yang mengikuti perjuangan Daniel, Doris Jones serta sejumlah nasionalis Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendirian bekas penjawat awam itu.

“Sabah dan Sarawak dahulunya masing-masing sebuah negara. Kedua-duanya dimerdekakan oleh British. Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, sementara Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963.

“Kemerdekaan itu meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai dua negara merdeka dan berdaulat,” Daniel yang lahir di Kota Marudu, Sabah pada 25 Ogos 1967 menghuraikan.


0 comments :

Post a Comment