Wednesday, November 12, 2014

Jika Sabah Sarawak Merdeka, Kenapa Tidak Menjadi Negara Anggota PBB dan Komanwel?



KOTA MARUDU: Sejarah telah membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak telah dimerdekakan oleh British. Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, manakala Sarawak pula pada 22 Julai 1963. Jika Sabah dan Sarawak merdeka, kenapa negara-negara ini tidak menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Komanwel (iaitu negara-negara bekas tanah jajahan British), kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK).

"Apabila Sabah dan Sarawak tidak menganggotai PBB dan Komanwel, dengan mudahnya bererti kemerdekaan dan kedaulatannya diserahkan kepada Malaya atas nama Malaysia. Ini bermakna Sabah dan Sarawak tidak merdeka dalam erti yang sebenar," katanya.

Akibatnya, walaupun Sabah dan Sarawak merupakan negara kaya tetapi telah dimiskinkan dengan pelbagai cara melalui penurunan statusnya menjadi negeri sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya.

Dalam konteks Sabah, misalnya, sehingga kini rakyat Sabah hidup sengsara dan menderita. Kesengsaraan ini telah sebati dalam diri mereka sehingga tidak terasa kesengsaraan itu, dengan cara hidup kais pagi makan petang, kais petang makan pagi.

"Untuk keluar dari kitaran ganas demikian, Sabah harus menikmati hak kemerdekaannya sendiri. Sabah harus benar-benar merdeka. Walaupun Sabah sudah merdeka daripada penjajahan British tetapi apabila kedaulatannya diserahkan kepada Malaya, maka Sabah sebenarnya berada di bawah dominasi Malaya, bererti Sabah tidak merdeka sepenuhnya. Untuk itu Sabah harus ada self-determination, hak untuk menentukan nasib sendiri."

Memandangkan status Sabah dan Sarawak merupakan negara merdeka dan berdaulat, maka status itu perlu dipulihkan. 

"Gerakan people power ini tidak akan berhenti. Hanya masa yang menentukan. Sama ada cepat atau lambat, status Sabah dan Sarawak sebagai negara akan tetap dipulihkan," katanya.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu
12 November 2014

Gambar: Bersama Sdr Itoh Manggong, seorang nasionalis Sabah dalam satu sesi perbincangan meja bulat - siri sesi perbincangan profesional MOSIK bersama nasionalis

0 comments :

Post a Comment