Sunday, September 21, 2014

Perjanjian Malaysia 1963 Tidak Sah?

KOTA MARUDU: Perjanjian Malaysia 1963 tidak sah, kata peguam, Robert Pei yang telah membentangkan kertas kerjanya baru-baru ini dalam satu persidangan Malaysia at Crossroad. MOSIK Times meneliti beberapa catatan di media sosial dan media massa berhubung perkara ini dan merumuskan beberapa fakta menarik yang menyokong dakwaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak sah. Perjanjian Malaysia 1963 sebenarnya ditolak oleh regim Malaya. Sehingga kini selama 51 tahun sejak Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, regim Malaya tidak mahu menghormati dan mematuhi perjanjian itu. Berikut dinyatakan beberapa fakta yang membuktikan Perjanjian Malaysia 1963 tidak sah.

Fakta-Fakta yang Membuktikan Perjanjian Malaysia 1963 Tidak Sah
1. Perjanjian penyatuan Malaya, Sarawak dan Sabah sebagai satu negara melanggar tatacara undang-undang antarabangsa, yang menyatakan hanya negara merdeka boleh menyertai perjanjian antarabangsa.

2. Perjanjian Malaysia 1963 tidak ditandatangani antara lima negara merdeka dan berdaulat, namun disertai antara dua negara bebas, iaitu United Kingdom dan Persekutuan Tanah Melayu (yang sudah merdeka pada ketika itu) – dengan negara separuh koloni Singapura dan dua koloni Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. 

3. Lima  individu yang terlibat menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 untuk Sarawak – P.E.H Pike, T Jugah, Abang Haji Mustapha, Ling Beng Siew dan Abang Haji Openg – tidak mempunyai mandat rakyat Sarawak kerana Sarawak masih lagi menjadi koloni tanpa wakil kerajaan.

4. Perjanjian Malaysia 1963 telah melanggar Konvensyen Vienna berkenaan Law of Treaties Customary International Law, 1980 (VCLT 1980).

5. Perjanjian Malaysia 1963 juga telah melanggar Artikel 5, United Nations Decolonization Declaration 1960 (UNDD 1960) apabila Britain dan Malaya merancang untuk memindahkan kemerdekaan koloni Borneo kepada Malaysia. Perjanjian Malaysia 1963 melanggar Artikel 5 UNDD 1960, kerana gagal memindahkan kesemua kuasa kepada rakyat dan menafikan rakyat untuk mendapat kebebasan mutlak.

6. Menurut UN Charter on Self-Determination, Malaya sebagai kuasa bebas, tidak mempunyai hak perundangan, mandat atau kuasa untuk mencampuri hal-ehwal Borneo. 

7. Manakala Britain pula telah melakukan pecah amanah apabila gagal menghormati Cession Treaty 1946 untuk memastikan kemerdekaan Sarawak ketika rakyat negeri itu bersedia untuk mentadbirnya, tetapi Britain tidak melakukannya.

8. Berdasarkan pada peristiwa asas pembentukan Malaysia, Suruhanjaya Cobbold dan United Nations Assessment Mission tidak dilakukan dengan sempurna di mana Suruhanjaya Cobbold hanya bertemu 4,000 penduduk Borneo Utara dan Sarawak dengan populasi 1.2 juta dan mendakwa menerima 2,200 memo dan surat daripada orang ramai. Ini tidak mewakili suara rakyat Borneo Utara dan Sarawak.

9. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bantahan terhadap pembentukan Persekutuan Malaysia, dengan ribuan orang membantah di Sarawak selain penahanan beberapa orang pemimpin anti-Malaysia termasuk pengharaman akhbar Cina pada masa itu. Bukti ini jelas menunjukkan suara rakyat tidak dipedulikan dan melanggar hak-hak manusia sejagat.

10. Perjanjian  Malaysia 1963 seharusnya terbatal dengan pemisahan Singapura pada 9 Ogos 1965 kerana pemisahan itu berlaku tanpa persetujuan semua pihak termasuk tanpa rundingan dengan Sabah dan Sarawak. Jika Perjanjian Malaysia 1963 itu dianggap masih lagi sah meskipun Singapura berpisah, tetapi regim Malaya masih tidak menghormati perjanjian itu kerana regim Malaya meminda Perlembagaan Persekutuan pada 27 Ogos 1976 yang mengubah status Sarawak dan Sabah sebagai negeri ke-12 dan ke-13. Regim Malaya melanggar konsep asal pembentukan Persekutuan tiga negara kepada kesatuan 13 negeri dengan kuasa dan kemerdekaan dipegang oleh Kerajaan Persekutuan yang menunjukkan dengan jelas pelanggaran terhadap asas Perjanjian Malaysia 1963.

Penutup
Berdasarkan fakta ini, maka Perjanjian Malaysia 1963 itu tidak sah dan wajar dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Bersediakah Kerajaan Sabah dan Sarawak membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa? Hanya Kerajaan sahaja yang mempunyai locus standi untuk membawa kes ini di Mahkamah Antarabangsa. Ini bermakna kita harus memilih kerajaan yang boleh menegakkan keadilan dan kebenaran, yang mahu supaya Perkara 20/18, Laporan Cobbold, Laporan IGC, dan Perjanjian Malaysia 1963 dipatuhi dan dilaksanakan dan seterusnya membawa hal ini di peringkat antarabangsa sekiranya regim Malaya masih enggan mematuhinya.

0 comments :

Post a Comment