Monday, October 20, 2014

Tiada Sebab Mengapa Status Sabah Sarawak sebagai Negara Tidak Boleh Dipulihkan


KOTA MARUDU: "Tiada sebab dan alasan mengapa status Sabah Sarawak sebagai negara tidak boleh dipulihkan walaupun sudah 51 tahun penubuhan Persekutuan Malaysia. Jika regim Malaya mengambilnya, Sabahan dan Sarawakian berhak mendapatnya semula," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) dalam satu kenyataan. 

Menurutnya, jika regim Malaya sebelum ini telah menurunkan status Sabah dan Sarawak daripada sebuah negara kepada sebuah negeri yang sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya, status itu perlu dipulihkan semula sesuai dengan persetujuan dan persefahaman asal. Persekutuan Malaysia dianggotai empat negara yang merdeka dan berdaulat, iaitu Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak yang telah diisytiharkan pada 16 September 1963, namun Singapura kemudiannya disingkirkan pada 9 Ogos 1965.

Namun, status Sabah dan Sarawak sebagai negara itu perlahan-lahan diturunkan sehingga akhirnya telah diturunkan sepenuhnya pada 27 Ogos 1976, apabila berlaku pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Sabah dan Sarawak sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya. 

"Ini tidak patut dan amat tidak wajar kerana persetujuan penubuhan Malaysia tidak dipatuhi. Maknanya, Perjanjian Malaysia itu tidak dihormati dan dilaksanakan oleh regim Malaya. Oleh sebab itu, status Sabah dan Sarawak sebagai negara itu perlu dipulihkan oleh people power," katanya meminta supaya Persekutuan Malaysia yang ada sekarang distrukturkan semula mengikut terma dan syarat persetujuan asal.

Status Sabah dan Sarawak sebagai negara itu itu amat penting kerana dengan adanya status itu, Sabah, Sarawak, dan Malaya (selepas Singapura disingkirkan) merupakan rakan kongsi sama taraf dan sama rata serta mempunyai entiti yang berasingan dalam Persekutuan Malaysia. 

"Status Sabah dan Sarawak sebagai negara itu perlu dipulihkan untuk membolehkan Sabah dan Sarawak berkerajaan sendiri atau berautonomi penuh dalam pemerintahan dan pentadbiran, selain menguruskan hal-ehwal ekonomi, " katanya dengan menegaskan bahawa tiada sebab mengapa perjanjian penubuhan Malaysia 1963 tidak boleh dihormati, dihargai, dan dipatuhi jika ingin Persekutuan Malaysia diteruskan. 

Menurutnya, ancaman, ugutan, ataupun tirai besi tidak akan menghalang dan mematahkan perjuangan ini kerana perjuangan ini benar dan berlandaskan kebenaran. Sama ada cepat atau lambat Sabahan dan Sarawakian lambat menerima kebenaran bahawa Sabah, Sarawak, dan Malaya rakan kongsi sama taraf serta entiti yang berasingan dalam Persekutuan Malaysia, namun pada akhirnya perjuangan ini akhirnya akan mencapai kemenangan.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu 
20 Oktober 2014

0 comments :

Post a Comment