Thursday, November 13, 2014

"Pindahkan Gereja ke Neraka"

KOTA MARUDU: Menatap gambar anak muda memegang kad manila yang tertulis, "Pindahkan Gereja ke Neraka" membuat saya bermuhasabah diri berkali-kali," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK). Gambar tersebut telah menjadi viral di media sosial, sama ada di laman facebook, mahupun di Whatsapp.

Mengulas lanjut gambar yang dianggap sebagai provokasi melampau itu, beliau berkata, "Saya memang percaya bahawa syurga dan neraka itu wujud. Tuhan akan menghakimi. Apabila tiba masa penghakiman, semua manusia dihakimi berdasarkan kasih kurnia dan hukuman. Siapa yang berada di bawah kasih kurnia Tuhan memperoleh keselamatan, siapa yang berada di bawah hukuman akan diadili," katanya.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, perkara-perkara yang boleh meretakkan hubungan wajar dihentikan. Gambar sedemikian amat dikesali dan menunjukkan hubungan agama di negara ini bertambah dingin. Yang lebih dikesali, walaupun keadaan melampau itu sudah berlarutan, tetapi tiada tindakan pihak berkuasa diambil. 

Jika tidak silap mata memandang, anak muda yang memegang kertas ini ialah orang Melayu, yang berlatar belakangkan papan tanda satu projek, "Kuala Selangor Indah dan Bersejarah".

Menurutnya lagi, "Di hati kecil saya berbicara, bahawa "neraka' yang dinyatakan dalam gambar ini adalah metafora, iaitu suatu tempat yang tidak damai, suatu tempat yang penuh dengan persengketaan, suatu tempat yang penuh dengan kesengsaraan dan penderitaan. Oleh sebab itu, gereja diperlukan di situ. Jadi, sebenarnya, jiwa anak muda ini menjerit supaya gereja dibina di 'neraka' itu kerana mahu ada pembebasan, mahu ada damai sejahtera. Gereja perlu dibina di Tanah Melayu. Gambar bisu ini berbicara tentang jiwa manusia yang dahagakan kebenaran," katanya.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu
13 November 2014

0 comments :

Post a Comment