Thursday, November 13, 2014

Langkah Awal dalam Memulihkan Status Sabah sebagai Negara

KOTA MARUDU: Dalam proses untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara, kita perlu mengambil kira langkah awal atau langkah pertama yang perlu dilakukan untuk memulihkan status tersebut," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) dalam satu sumber makalah yang dihasilkannya. 

Sesudah 51 tahun Persekutuan Malaysia dibina, belum ada tanda-tanda status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara dipulihkan. Malah kerajaan Persekutuan yang ada sekarang (regim UMNO-BN, baik di peringkat Pusat mahupun di peringkat Sabah) tidak mempunyai sebarang komitmen untuk memulihkan status tersebut. Untuk itu, usaha berterusan perlu dilakukan sehinggalah matlamat perjuangan ini tercapai, iaitu sehingga status Sabah sebagai sebuah negara dalam Persekutuan Malaysia dipulihkan. 

"Kombinasi peranan dan komitmen bertindak antara kerajaan, ahli politik, NGO, pengamal undang-undang (peguam), dan rakyat adalah amat perlu dalam memastikan status Sabah sebagai negara akhirnya ditegakkan," katanya.

Peranan Kerajaan
Perjuangan ini menemui jalan berliku memandangkan pihak kerajaan (sama ada Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Sabah yang dikuasai UMNO-BN) sekarang tidak mempunyai political will untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara, sedangkan peranan kerajaan adalah amat penting dalam menjayakan perjuangan ini. Ini bermakna perjuangan untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara dicapai melalui saluran politik, iaitu melalui pilihan raya.  Dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat hendaklah mengundi dan memilih wakil rakyat yang mewakili kawasan mereka. Ini bermakna rakyat memilih wakil rakyat yang mempunyai matlamat perjuangan ini, iaitu parti yang memperjuangkan matlamat pemulihan semula status Sabah sebagai sebuah negara. Parti itu pula berjaya membentuk kerajaan baru. Tuntutan pemulihan ini akan menjadi lebih mudah apabila wujud kerajaan yang menyokong perjuangan ini. Kerajaan baru itu seterusnya akan meluluskan usul di Dewan Undangan Negeri Sabah untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara. Tidak dapat tidak ahli-ahli politik Sabah haruslah memiliki pendirian yang teguh dalam memastikan kejayaan perjuangan ini. Saluran pilihan raya untuk mencapai matlamat perjuangan ini nampaknya menemui pelbagai cabaran ekoran kesedaran dalam kalangan rakyat yang masih di tahap rendah setelah sekian lama menerima status Sabah sebagai salah satu daripada negeri di Malaysia. Namun, jika kerajaan baru berjaya dibentuk dalam pilihan raya yang akan datang dan kerajaan itu pula menyokong matlamat memulihkan status Sabah sebagai negara kerana disokong oleh rakyat Sabah, maka proses pemulihan itu akan lebih mudah kerana dituntut oleh sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. 

Peranan Ahli Politik
Peranan ahli politik amat penting dalam memulihkan status Sabah sebagai negara kerana ahli politik mempunyai pengaruh yang tersendiri sebagai agen perubahan. Mereka boleh memberi kesedaran kepada rakyat mengenai fakta sejarah kenegaraan Sabah dan Sarawak yang sebenar. Mereka boleh memberi pendidikan kepada rakyat Sabah mengenai hak-hak kemerdekaan Sabah seperti mana yang terkandung dalam perjanjian dan persetujuan asal penubuhan Persekutuan Malaysia. Bahkan lebih daripada itu, ahli politik mempunyai pengaruh yang luas dalam menyebarkan maklumat mengenai kebenaran dan masalah sebenar yang kita hadapi pada masa kini dan apakah pula penyelesaiannya. Ahli politik boleh menyatakan pandangan dan idea bagaimana merealisasikan pemulihan status Sabah dan Sarawak sebagai negara. Mereka boleh mencadangkan bagaimana membina Sabah dan Sarawak sebagai negara. Soalnya, berapa ramaikah ahli politik Sabah yang menyokong perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara dalam Persekutuan Malaysia? Misalnya berapa ramai ahli politik dari parti UMNO-BN dan Pakatan Rakyat yang menyokong perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara dalam Persekutuan Malaysia dan seterusnya memastikan matlamat perjuangan ini dicapai? Kita sangat teruja untuk mendengar bahawa pemimpin, ahli politik, penyokong, serta pengundi UMNO-BN dan Pakatan Rakyat berjuang memastikan status Sabah sebagai negara dipulihkan. Jika ini berlaku, maka matlamat ini pasti tercapai dan Malaysia yang sebenar dapat didirikan. 

Peranan Pengamal Undang-undang (Peguam)
Perjuangan memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai negara memerlukan komitmen dan penglibatan pengamal undang-undang (peguam) kerana mereka boleh melihat perjuangan ini dalam konteks perundangan. Tidak dapat dinafikan bahawa perjuangan ini berdepan pelbagai cabaran dan tindakan daripada pihak regim Malaya yang ingin terus berkuasa ke atas Sabah dan Sarawak dan menggunakan pelbagai cara untuk menghentikannya. Misalnya, pihak regim Malaya menggunakan saluran undang-undang dan akta, selain pelbagai ugutan, ancaman, dan tindakan menakut-nakutkan rakyat agar berhenti berjuang.  Jika ada sesuatu cadangan untuk menguatkan perjuangan ini sehingga berjaya, maka nasihat pakar undang-undang diperlukan. Malah, sebarang tindakan dan aktiviti yang dilaksanakan untuk memberi pendidikan kepada rakyat berhubung perjuangan ini, tentulah wajar dilakukan selaras dengan undang-undang negara, dan kerana itu sokongan para peguam dan pengamal undang-undang yang lain amat diperlukan. 

Peranan NGO dan Peranan Rakyat 
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan kumpulan pendesak yang muncul dari kalangan rakyat, berjuang untuk kepentingan rakyat, serta matlamat yang diperjuangkan itu dibuat oleh kehendak rakyat sendiri. Ini bermakna, peranan NGO amat penting dalam merealisasikan perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara. Salah satu tindakan yang wajar dilakukan oleh NGO ialah menyokong petisyen yang dikemukakan di peringkat antarabangsa. Pada masa ini terdapat dua petisyen berkaitan yang telah pun dikemukakan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu:
  1. Call for Sabah Sarawak Rights (yang dikemukakan oleh Doris Jones, seorang Sabahan yang bermastautin di United Kingdom) dari NGO Sabah Sarawak Union – UK (SSU-UK)
  2. Peoples’ Petition to United Nations to Seek fof Self-Determination for Sarawak and Sabah (yang dikemukakan oleh Lina Soo, dari Sarawak dari NGO SAPA dan BHF.

Dengan sifatnya sebagai sebuah organisasi bebas, NGO mendapat sokongan rakyat. NGO bukan parti politik yang tertakluk kepada perlembagaan parti, tetapi sebuah gerakan kuasa rakyat atau people power yang bergerak dengan penuh berani dan tabah dalam mencapai visi, misi, matlamat, dan objektif penubuhannya. Aktiviti NGO lebih mudah diterima oleh rakyat kerana dilakukan secara sukarela, malah lebih dekat di hati rakyat itu sendiri.  Dengan gabungan NGO yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama, maka kesedaran rakyat akan lebih meluas. Ini bermakna perjuangan memulihkan status Sabah sebagai negara akan mudah diterima. Justeru peranan NGO dan rakyat jelata keseluruhannya amat penting dalam mempercepatkan proses merealisasikan matlamat perjuangan. 

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu
13 November 2014

Sumber: Petikan artikel, "Langkah Awal dalam Memulihkan Status Sabah sebagai Negara" - boleh diperoleh daripada penulis melalui emel, jika mahu mendapatkan artikel berkenaan.

0 comments :

Post a Comment