Monday, November 3, 2014

PARAS Bantah Pemberian Sijil Kelahiran Kepada Anak-anak Tanpa Warganegara (PTI) di Sabah

KOTA MARUDU: Perhimpunan Aman Rakyat Sabah Sengsara (PARAS) membantah pemberian Sijil Kelahiran kepada kanak-kanak tanpa warganegara (PTI) di Sabah telah berjaya diadakan oleh gabungan beberapa buah NGO seperti MOSIK, SSPR, SSKM di dua tempat, iaitu Kg. Goshen, Kota Marudu dan Kg. Damai, Tandek, Kota Marudu pada hari ini.
"Gabungan NGO membantah dengan sekeras-kerasnya keputusan Putrajaya untuk memberi Sijil Kelahiran Malaysia kepada anak-anak tanpa warganegara di Sabah," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) dalam ucapan ringkas di perhimpunan aman ini.
"Kenapa tak runding dulu dengan Kerajaan Sabah dan rakyat Sabah sendiri tentang cadangan ini? Kenapa langsung umum? Laporan dapatan RCI PTI pun belum dibentang, ini langsung pula umum beri sijil kelahiran? Apa agenda sebenar Zahid dan Putrajaya?" katanya mempersoalkan keputusan tergesa-gesa tersebut dan suatu tindakan yang langsung tidak prihatin kepada Sabahan.
"Ini suara rakyat Sabah meminta supaya keputusan ini tidak dilaksanakan. Rakyat Sabah sudah lama sengsara kerana masalah PTI yang tidak ditangani sejak awal lagi. Keadaan ini tambah kronik. Masalah Projek IC tak selesai. Ini lagi masalah baru. Jawatankuasa Bertindak di bawah IGC perlu dibentuk untuk mencari sistem, kaedah, dan mekanisme menyelesaikan masalah stateless children," katanya memohon supaya masalah ini dibincang dengan serius dan di atasi segera.
"Masalah ini sebenarnya boleh selesai kalau Kerajaan Malaysia benar-benar mahu menyelesaikannya. Mesti ada political will," katanya.
Dalam perhimpunan aman ini, beberapa resolusi telah dicapai hasil daripada suara rakyat.
Jebon Janaun 
Presiden Momogun Movement for Self Determination (MOSIK)
2 November 2014

0 comments :

Post a Comment