Monday, November 10, 2014

Tangisan orang asal Sabah

THE MALAYSIAN INSIDER, 10 Nov: Pada 16 September 2014, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Momogun Movement for Self-Determination (Mosik) diasaskan di Kota Marudu, Sabah.

Menurut Daniel Jebon Janaun, Mosik diasaskan “demi perjuangan memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat selaras Perkara 20, Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC dan Perjanjian Malaysia 1963, serta jaminan dan persetujuan asal dalam penubuhan Malaysia.”

Maklumat asas mengenai perjuangan pelbagai lapisan masyarakat “Momogun” iaitu “Orang Asal Sabah” dihuraikan dalam makalah bertajuk “Apa lagi Sabah mahu?” (The Malaysian Insider, 23 September 2014).
Dalam perkembangan terbaru, menerusi perkongsian di Facebook pada 4 November 2014, Daniel meluahkan pandangan betapa Sabah sedang menuju kehancuran.

“Sabahan (Momogun), kenapa menuntut hak sendiri pun kalian tidak mahu? Sabahan sudah sengsara pun masih juga tidak berani bersuara menentang penindasan regim Malaya (Tanah Melayu) dan orang sendiri?
“Hak orang asal dihakis. Orang asal sedang dirancang untuk dihapuskan, pun majoriti Sabahan berdiam diri!” Kata-katanya berdasarkan pengalaman sendiri memimpin perjuangan Mosik.

Benarkah Sabah serta penduduk asal Sabah sedang sengsara seperti didedahkan Daniel? Untuk mencari jawapan, saya cuba mendapatkan reaksi daripada beberapa orang Momogun.

Dalam hal ini, Daniel mengakui majoriti penduduk Sabah susah untuk tampil bersuara dan mendedahkan penindasan dan kezaliman yang sedang berlaku.

Teruskan perjuangan demi pertahan hak
“Mereka diancam, diugut dan ditakut-takutkan. Malah, ada yang tidak lagi rasa sengsara sebab sudah terlalu lama sengsara,” kata lelaki daripada etnik Kadazan (Kimaragang) itu.

Tulisla Leeann menyeru rakan-rakannya meneruskan perjuangan serta mengharapkan agar usaha yang dilakukan mendapat lebih banyak sokongan dan penyertaan. Pandangan hampir sama dikongsi Jettry Otto, Wesley Masampai dan Jaff Boluot.

“Kita tuntut hak taburan dari ladang kita, bukan dari ladang orang lain,” kata Jenol Samaron secara simbolik.
Sabah dikatakan sudah dimiskinkan walaupun “Negeri di Bawah Bayu” itu sebenarnya amat kaya.
“Kekayaan bumi Sabah dijarah, dikaut dan dibawa ke Malaya sehingga akhirnya wujud kemiskinan yang tinggi dan kitaran ganas kemiskinan di Sabah,” kata Daniel dalam wawancara sebelum ini.

Tindakan kerajaan pusat mengaut dan merampas hasil minyak dan gas Sabah dan Sarawak menerusi Petronas dianggap zalim dan kejam kerana perbuatan itu sebenarnya bukan dalam bidang kuasa kerajaan pusat.

Pada pendirian Mick Sawatan, menuntut hak orang Sabah bukan milik satu-satu pihak. Sebaliknya ia perjuangan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira arah sokongan politik.
“Perjuangan hak penduduk Sabah perlukan perasaan bersatu, tidak semestinya satu ideologi. Masing-masing gunakan platform dan wacana yang ada untuk mengukuhkan perjuangan demi Sabah,” katanya.
Generasi muda juga perlu ditanamkan semangat cinta akan sejarah dan asal-usul. Seperti kata De Ward, guru sekolah patut mengajar murid dan pelajar sejarah yang betul, “bukan suruh menaikkan bendera BN (Barisan Nasional).”
Dokumen ini tersebar luas
menerusi laman rangkaian sosial.
Pendatang tanpa izin diutamakan
Bagi menzahirkan semangat perjuangan demi hak, Randdy Carlles Hyeen mencadangkan para penyokong membuat perhimpunan aman bagi membantah segala perkara tidak betul yang sedang berlaku.

Dokumen ini tersebar luas menerusi laman rangkaian sosial. Dokumen ini tersebar luas menerusi laman rangkaian sosial.Salah satu isu yang hangat sekarang adalah berkaitan masalah pendatang tanpa izin (PTI) dari Indonesia dan Filipina yang dikatakan diberi sijil kelahiran dan kad pengenalan secara mudah.
“Rakyat Sabah memang betul-betul sengsara. Tanah adat dirampas, hasil ekonomi dikaut dan dibawa ke Malaya manakala yang diberi kepada Sabah sedikit saja.

“Infrastruktur daif di mana-mana. Kami miskin kerana dimiskinkan. Ekonomi lumpuh. Mutu dan tahap pendidikan sangat rendah. Ini belum masuk masalah PTI dan Projek IC,” kata Wira Maple menerusi mesejnya.

Seperti dilaporkan The Malaysian Insider (29 Oktober 2014), Putrajaya bersedia memberikan sijil kelahiran kepada anak-anak tanpa kewarganegaraan di Sabah “atas dasar kemanusiaan”.

Tentulah penduduk asal Sabah berhak untuk berasa bimbang. Pada 15 Oktober 2014, misalnya seorang bayi yang lahir di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kota Kinabalu pada 4 Oktober 2014 diberikan sijil kelahiran hijau (warganegara) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Hospital Pakar Likas.
Berdasarkan maklumat pada sijil kelahiran bayi yang “berbintikan” Abdullah itu, bapanya berumur 38 tahun, beragama Islam, keturunan Filipino, bukan warganegara Malaysia dan datang menggunakan pas lawatan (IMM13).

Ibu pula tinggal di Kota Kinabalu, keturunan Filipino, beragama Islam, berumur 23 tahun tetapi sudah memiliki status pemastautin tetap (penduduk tetap).

Maklumat yang tersebar menerusi laman rangkaian sosial mendedahkan kemungkinan wanita itu baru beberapa tahun datang ke Sabah tetapi pihak tertentu (ketua kampung berketurunan Sulu?) membuat akuan palsu kononnya dia datang 20 tahun lalu.

Banyak kejadian tidak diketahui orang luar
Laporan Bernama (3 November 2014) memetik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid meminta rakyat Sabah tidak perlu bimbang.

Khabarnya, pemberian sijil kelahiran kepada anak-anak tanpa kewarganegaraan tidak bermakna mereka secara automatik mendapat taraf warganegara dan menikmati keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.
Berhubung sijil kelahiran bagi bayi yang dinyatakan di atas, ahli jawatankuasa Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Rayner Yeo yang berasal dari Sabah tampil memberikan penjelasan berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, serta Bahagian II, Jadual II.

“Jika anak tersebut dilahirkan di Malaysia dan salah seorang ibu bapa adalah pemastautin tetap, maka anak tersebut dikira sebagai warganegara,” kata pemuda berdarah kacukan Cina, Dusun dan Murut itu.

Dari sudut lain, apa yang menghairankan, sementara golongan PTI amat mudah mendapatkan dokumen pengenalan rasmi dan taraf kewarganegaraan, penduduk asal Sabah pula terus menderita, dipinggirkan dan dizalimi kuasawan.

“Sabahan memang sengsara kerana ancaman besar keselamatan PTI yang berlaku saban hari. Misalnya rompakan, pecah rumah, rogol, bunuh dan culik,” kata Jenol Samaron.

Beliau turut berkongsi pandangan iaitu orang asal Sabah sengsara disebabkan tahap ekonomi yang teruk dan pendapatan yang rendah, berbanding harga barangan keperluan asas yang tinggi.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Atas sebab itulah Butiza Emas meminta sesiapa yang mahu memahami penderitaan mereka, maka wajar pergi dan tinggal di mana-mana bahagian Sabah selama beberapa hari.

Najib
“Perdana Menteri buat tuli”
Bagaimana dengan politikus dan wakil rakyat yang dipilih untuk bersuara mewakili penduduk yang memerlukan bantuan?

Jamiah JM Thewive menyifatkan politikus dan menteri-menteri warga Sabah umpama lembu dicucuk hidung dan diperalatkan Umno.

“Tinggalkan BN dan berjuanglah bersama rakyat untuk membebaskan Sabah daripada jajahan Malaya. Buka mata, buka hati. Berfikirlah dengan hati nurani, bukan dengan hawa nafsu,” rayunya kepada politikus Sabah menerusi komen yang ditulis.

Berikutan kempen meluas yang dilakukan Mosik dan pelbagai kumpulan lain di seluruh Sabah, kesedaran masyarakat nampaknya semakin meningkat.

“Selama ini kita tahu Sabah bebas daripada penjajah British tetapi kita tidak pernah merasai nikmat merdeka yang sebenar. Syukurlah semakin ramai Sabahan sedar akan sejarah sebenar.

“Merdeka dalam erti kata sebenar adalah apabila Sabah mampu membawa acuan pemerintahan sendiri tanpa pengaruh dan campur tangan pihak luar,” kata Jeff LeoNo.

Dalam hal perjuangan ini, Ismaily Bungsu C tampil menyatakan memang sudah lama orang Sabah bersuara.
“Cuma pemerintah tulikan telinga dan para Yang Berhormat diam. Kalau orang bising pun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat tuli,” katanya.

Mengulas soal kesengsaraan rakyat Sabah, Montis Braynlee menghuraikan kos sara hidup yang terlalu tinggi menjadi antara sebab paling utama.

“Pendapatan bagi keluarga yang ada kebun getah empat hektar pun paling tinggi RM800. Katakan ada tujuh ahli keluarga. Kos barangan dapur RM500, tambang bas sekolah untuk tiga anak RM114, wang saku untuk tiga anak bersekolah RM90. Ini belum masuk kos-kos lain,” katanya mewakili golongan pekebun kecil.

Hak dirampas, suara disekat

Seorang lagi penduduk yang tampil berkongsi pengalaman dan pandangan ialah Yash Nite yang terpaksa merantau ke Johor untuk bekerja kerana gaji di Sabah hanya RM800 sebulan.

“Kami mohon kerajaan sediakan lebih banyak peluang pekerjaan dengan mendirikan kilang-kilang seperti di Semenanjung Malaysia. Masalah PTI yang semakin ramai juga menjadi saingan kepada kami orang asal dalam merebut pekerjaan.

“Kami mohon kerajaan melengkapkan kemudahan asas seperti jalan raya yang baik untuk perhubungan dan kemudahan mengangkut hasil dari kampung-kampung untuk dijual,” katanya.

Kemudahan bekalan air paip dan elektrik yang diharapkan oleh pemuda itu tentu juga mewakili suara hati rata-rata penduduk Sabah. Walaupun sudah lebih 50 tahun Sabah bersama Malaysia, kawasan pedalaman masih terpinggir.

“Kalau anda datang ke Sabah dan masuk ke kawasan pedalaman, seakan sama dengan suasana 50 tahun dahulu. Kehidupan sungguh daif. Sabah masih dalam keadaan teruk. Pelbagai masalah wujud tetapi kerajaan tak ambil tahu.

“Kerajaan hanya pandai berkata-kata di media tetapi kenyataan adalah kosong. Hak kami dirampas, kebebasan bersuara disekat. Kami diugut, tanah dirampas, isu PTI semakin meruncing dan pelbagai lagi,” Jussnee Siu meluahkan perasaan menerusi mesej yang dikirim.

Berat mata memandang, tentulah berat lagi bahu memikul. Walaupun saya pernah beberapa kali ke Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau dan beberapa tempat lain, mungkin saya belum berpeluang menyelami jiwa dan kesengsaraan yang ditanggung penduduk asal Sabah secara dekat.

“Saya ingin mencabar saudara. Kalau saudara seorang penulis yang berjiwa rakyat, saudara dengan segala hormatnya dijemput ke Sabah untuk melihat sendiri keperitan dan kesengsaraan penduduk asal Sabah. Saya merayu agar saudara datang menilai dan memperhalusi kesengsaraan kami.”

Kata-kata Jussnee pada akhir mesej membuatkan saya sedar saya memang perlu ke sana dalam masa terdekat untuk bersama-sama mereka. Perlu mendengar keluh-kesah yang mungkin tidak sudi didengar politikus dan kuasawan. – 10 November, 2014.

Uthaya Sankar SB, penulis artikel
Nota:
Tangisan orang asal Sabah dihasilkan oleh Uthaya Sankar SB. 

0 comments :

Post a Comment