KOTA MARUDU: "Setelah sekian lama rakyat Sabah dimiskinkan secara perlahan-lahan oleh regim Malaya melalui usaha mengaut dan mengambil hasil Sabah dengan hanya memberikan sedikit peruntukan pengurusan dan pembangunan kepada Sabah, maka rakyat Sabah dipaksa dan terpaksa menerimanya," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK).
Rakyat Sabah sengsara, tetapi anehnya majoriti rakyat Sabah berasa tidak sengsara kerana kelicikan regim Malaya dan tali barutnya memainkan psikologi orang Sabah supaya menerima apa yang ada.
Keadaan ini menyebabkan rakyat Sabah tidak serius berjuang menuntut hak Sabah seperti mana yang dinyatakan dalam Perkara 20, Laporan Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963, dan Perlembagaan Persekutuan.
Majoriti rakyat Sabah bersedia menerima keadaan yang mundur ini dengan rasa kecewa, tetapi tidak sampai ke tahap berani keluar dari zon demikian untuk menuntut hak Sabahan sendiri kerana berasa terikat dengan cengkaman Kuala Lumpur.
Minda majoriti rakyat Sabah dijajah sehingga mereka tidak nampak apa sebenarnya patut mereka miliki dari aspek pembangunan insan, pembangunan ekonomi, pembangunan fizikal hasil daripada kekayaan bumi negara Sabah. Walaupun tidak dinafikan memang terdapat pembangunan fizikal, namun kualiti dan kuantiti yang diadakan itu tidak sepadan dengan hasil yang diambil.
"Negara Sabah kaya. Dianggarkan lebih RM40 bilion setahun dikaut dan dibawa ke Malaya dalam bentuk cukai dan minyak dan gas, tetapi tidak sampai pun 10 peratus daripada hasil itu diperuntukkan untuk pembangunan yang disalurkan ke Sabah," katanya mengajak rakyat Sabah bangkit menentang ketidakadilan ini.
Rakyat Sabah sudah lama sengsara. Oleh sebab itu, rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama, harus bangkit untuk mendapat hak kemerdekaan. Rakyat Sabah harus tahu bahawa mereka akan mendapat lebih baik daripada apa yang ada sekarang, jika Sabah mempunyai autonomi penuh dalam pentadbiran dan pemerintahan.
"Sabahan harus memerintah sendiri tanpa dominasi Malaya kerana inilah yang dipersetujui semasa Persekutuan Malaysia dibentuk. Tuntutan ini tiada kaitan dengan pemisahan Sabah dari Malaysia. Ini bukan pemisahan. Ini perjuangan menuntut hak Sabah yang telah dinafikan oleh kuasawan regim Malaya," katanya.
Kesengsaraan rakyat Sabah harus dijadikan sebagai alat untuk membangkitkan people power bagi kalangan Sabahan bagi memulihkan status Sabah sebagai negara dalam Persekutuan Malaysia.
Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination
Kota Marudu
26 Oktober 2014
0 comments :
Post a Comment