Friday, October 24, 2014

Malaya, Sabah, Sarawak: Rakan Kongsi Sama Rata, Sama Taraf

KOTA MARUDU: "Tahukah anda bahawa Tuhan memberi kita siang dan malam, Tuhan memberi kita terang dan gelap? Semuanya kerana Tuhan mahu kita merasa keajaiban-Nya. Jangan hanya mahu terang dan mengenepikan yang gelap, begitu juga sebaliknya," kata Jebon Janaun, Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK), seorang mantan penjawat awam, yang melepaskan jawatannya untuk menjadi aktivis masyarakat, walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Menurutnya, perjuangan ini mengajar kita erti ketabahan. Namun, ketabahan itu ada hasil dan impaknya. Jika perjuangan itu mudah, anda tidak akan tahu betapa berharganya setiap masa dan ketika untuk berjuang. Apakah perjuangan yang dikatakannya itu? Perjuangan itu ialah memastikan perjanjian asal penubuhan Malaysia dipatuhi, iaitu Malaya, Sabah, dan Sarawak merupakan negara yang merdeka dan berdaulat yang bergabung bersama membentuk Persekutuan Malaysia. 

"Negara-negara ini merupakan rakan kongsi sama taraf dan sama rata dalam Persekutuan Malaysia. Tetapi, Sabah dan Sarawak diturunkan statusnya sama taraf dengan negeri-negeri di Malaya. Perbuatan ini tidak wajar dan perlu dibetulkan. Tidak ada sebab mengapa Persekutuan Malaysia tidak boleh distrukturkan semula," katanya. Beliau mengalami kecacatan anggota kaki kiri semasa umurnya 14 tahun kerana kemalangan jalan raya. Kini beliau mengajak agar Sabahan dan seluruh rakyat Malaysia berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebenaran seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 20, Laporan IGC, dan Laporan Cobbold, selain Perlembagaan Persekutuan.

Seorang warga emas
menjelaskan kepentingan petition 
Kini pelbagai lapisan masyarakat turut bersama dalam perjuangan murni ini. Malah warga emas pun gigih berjuang untuk memulihkan status Sabah sebagai negara kerana itulah yang benar bagi Persekutuan Malaysia. Jika warga emas menggunakan sisa-sisa hidupnya untuk berjuang, kenapakah tidak anak muda? Anak muda perlu tandatangan dua petition ke PBB, iaitu petition mendapatkan hak Sabah dan Sarawak dan petition untuk self-determination.

"Berjuanglah dengan iman, dengan hati yang tulus dan jujur, dengan minda yang terbuka. Tembuni saya ini ditanam di bumi negara Sabah ini! Saya akan tetap mati dan dikuburkan di bumi Sabah ini! Sama ada saya mati esok atau lusa atau tulat, saya mahu mati untuk negara Sabah. Ya, Pulihkan status Sabah sebagai negara!" katanya mengajak semua yang berkemampuan untuk berjuang bagi mendapat keadilan dan memulihkan status Sabah sebagai negara.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
Kota Marudu 
24 Oktober 2014

0 comments :

Post a Comment