Tuesday, October 14, 2014

Memulihkan Status Sabah Sebagai Negara

KOTA MARUDU: "Matlamat perjuangan utama Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK) ialah memulihkan status Sabah sebagai negara," kata Jebon Janaun, Presiden MOSIK. Hal ini demikian kerana, ketika Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, status Sabah dan Sarawak adalah negara tetapi telah diturunkan tarafnya sebagai negeri, iaitu sama taraf dengan negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu, pada 27 Ogos 1976 

Menurut beliau, perjuangan ini bukan hanya diperjuangkan oleh MOSIK sahaja, tetapi perjuangan NGO dan nasionalis Sabah yang lain, dan kerana itu MOSIK akan bekerjasama dengan mana-mana NGO yang memperjuangkan matlamat yang sama supaya matlamat ini akan berjaya dicapai suatu hari nanti.

Beliau menjelaskan lebih lanjut mengenai hal ini dalam konteks Sabah supaya status Sabah sebagai negara difahami agar langkah-langkah untuk mencapai matlamat itu akan dapat dilaksanakan. Beliau menjelaskan sepintas lalu apakah maksudnya memulihkan status Sabah sebagai negara, sesuai dengan pendirian MOSIK. 

Maksud Memulihkan Status Sabah Sebagai Negara

Maksudnya ialah:
  1. Sabah, Sarawak, dan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya merupakan rakan kongsi sama taraf dan sama rata dalam Persekutuan Malaysia.
  2. Sabah, Sarawak bukan rakan kongsi sama taraf dan sama rata dengan Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Melaka, dan Johor dalam Persekutuan Malaysia.
  3. Sabah, Sarawak, dan Malaya merupakan entiti yang berasingan antara satu sama lain tetapi saling bekerjasama dari segi politik, ekonomi, dan sosial dalam Persekutuan Malaysia.
  4. Sabah, Sarawak, dan Malaya masing-masing ada individualitinya sendiri dari segi sistem pentadbiran, pemerintahan, polisi ekonomi, dan sebagainya tanpa sebarang gangguan kuasa luar. Tetapi terdapat bidang kuasa yang jelas antara Kerajaan Persekutuan Malaysia dengan kerajaan negara yang menganggotainya.
  5. Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi sepenuhnya dalam pemerintahan, pentadbiran, pengurusan ekonomi, hal-ehwal dalam negara, imigresen, pendaftaran, pendidikan, dan sebagainya. Ini bererti Sabah dan Sarawak berkerajaan sendiri dalam erti kata yang sebenar.

Rakyat Sabah tandatangan petition
Menurutnya, perjuangan ini benar kerana itulah status Sabah dan Sarawak dan Malaya dalam Perjanjian Malaysia 1963. Perjuangan ini akan diteruskan walaupun menemui pelbagai cabaran kerana tindakan pihak kuasawan yang tidak menghormati dan mematuhi Perjanjian Malaysia. 

Untuk memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai negara, pelbagai langkah perlu diambil. Menurutnya lagi, pada masa sekarang, kita perlu memberi kesedaran kepada rakyat agar bersatu mendapatkan hak Sabah dan Sarawak sesuai dengan perjanjian. Memandangkan pihak berkuasa masih tidak peduli mengenai hal ini, maka tindakan seterusnya ialah kita perlu meminta keadilan antarabangsa melalui petition dan membawa masalah ketidakpatuhan terhadap Perjanjian Malaysia ini di Mahkamah Antarabangsa. Namun, semua ini perlu dilakukan secara berperingkat dan teratur kerana bukan mudah dilaksanakan. 

Sehubungan itu, Sabahan dan Sarawakian masing-masing harus bersatu dan berjuang melalui people power untuk menang dalam perjuangan ini. Usaha ini penting untuk menyelamatkan dan mewujudkan Persekutuan Malaysia yang sebenar. Kita harus menjunjung kebenaran dan keadilan dalam membina Persekutuan Malaysia yang sebenar.

Jebon Janaun
Presiden 
Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)

14 Oktober 2014

0 comments :

Post a Comment