Monday, October 27, 2014

MOSIK Bernaung di Bawah BHF


KOTA KINABALU: Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan NGO yang ditubuhkan pada 16 September 2014, sempena hari Malaysia ke-51, kini secara rasminya diterima bernaung di bawah Borneo Heritage Foundation (BHF) bermula pada 15 Oktober 2014, sebulan selepas NGO itu ditubuhkan.

Surat rasmi bertarikh 15 Oktober 2014 dengan rujukan DJK/ADUN/15/10/001 sebagai tanda naungan itu ditandatangani oleh YB Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, ADUN Bingkor, merangkap Pengerusi Borneo Heritage Foundation (BHF).

Walaupun MOSIK belum lagi berdaftar di bawah ROS, namun MOSIK boleh bergerak tanpa was-was dalam meneruskan matlamat perjuangannya untuk memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara dalam Persekutuan Malaysia, seperti mana persetujuan asal penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Hal ini bukan sahaja kerana MOSIK ditubuhkan selaras dengan Perkara 10 (1), Perlembagaan Persekutuan, iaitu:


Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) – 
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara; 
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata; 
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.


tetapi juga kerana MOSIK bernaung di bawah BHF - satu organisasi berdaftar dengan pihak yang berkenaan.

"Perlu difahami dengan jelas bahawa perjuangan MOSIK untuk memulihkan status Sabah sebagai negara bukan bererti memisahkan Sabah dari Persekutuaan Malaysia, tetapi sebaliknya mengukuhkan kedudukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada tiga negara anggota (selepas Singapura disingkirkan pada 9 Ogos 1965), iaitu Malaya, Sabah, dan Sarawak," kata Jebon Janaun,  bekas Penolong Pengarah Pelajaran / Guru selaku Presiden yang telah meletakkan jawatan sebagai penjawat awam untuk berjuang memulihkan status Sabah sebagai negara. 

Menurut perjanjian Malaysia 1963, status Sabah dan Sarawak itu merupakan negara tetapi telah diturunkan tarafnya jadi negeri setaraf dengan negeri-negeri di Malaya pada 27 Ogos 1976, melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan Parlimen Malaysia.

MOSIK bekerjasama sepenuhnya dengan BHF dan mana-mana NGO yang bernaung di bawahnya selain mana-mana NGO yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama.

Jebon Janaun
Presiden Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK)
27 Oktober 2014

0 comments :

Post a Comment